Tun M, Ku Li, Anwar tidak berjaya lagi – Belanjawan 2021

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 apabila bacaan kali ketiga diluluskan menerusi undi belah bahagian dengan 108 wakil rakyat menyokong, 108 menolak dan satu tidak hadir.

Dengan itu, rancangan kumpulan tertentu untuk menolak RUU itu sekali gus mungkin membuka jalan kepada runtuhnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak berjaya.

Keputusan undian diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Sebaik keputusan dibacakan, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, bangun untuk mengemukakan permintaan supaya usul RUU Perbekalan 2021 dibacakan kali ketiga dan diluluskan.

“Bahawa dewan ini, mengikut subseksyen 4(3) Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 [Akta 406], membuat ketetapan iaitu suatu jumlah wang sebanyak tidak lebih daripada RM69 bilion dibelanjakan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun 2021.

“Dan bagi tujuan dan butiran Perbelanjaan Pembangunan yang dinyatakan di bawah Maksud Pembangunan atau “P” dalam senarai Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2021.

“Yang dibentangkan sebagai Kertas Perintah 26 Tahun 2020, adalah diuntukkan di bawah maksud-maksud yang berkenaan jumlah-jumlah yang bersetentangan dengan butiran-butiran itu di ruangan enam dan tujuh senarai berkenaan,” katanya.

Azhar yang mendengar dengan tekun perkara itu kemudian mengumumkan RUU Perbekalan 2021 diluluskan selepas mendapat persetujuan dalam kalangan majoriti Ahli Parlimen.

“Maka, usul RUU Perbekalan 2021 ini disetujukan,” katanya disahut dentuman meja oleh penyokong kerajaan.

Terdahulu, sidang ditempohkan selama 10 minit sebelum undian belah bahagian bagi Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 dimaklumkan kepada Dewan Rakyat, seperti dicadangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

‘Ujian’ berkenaan berjaya diharungi apabila keputusan undian memihak kepada kerajaan, dengan 111 Ahli Parlimen bersetuju, 108 tidak bersetuju dan seorang tidak hadir.

Difahamkan Ahli Parlimen yang tidak hadir adalah Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang). Sementara itu, Ahli Parlimen Tapah yang juga Menteri Sumber Manusia M Saravanan serta P Prabakaran (PH-Batu) mengundi dari Galeri Awam kerana masih dalam kuarantin COVID-19.

Terdahulu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, memerintahkan undian belah bahagian bagi RUU Perbekalan 2021 dimaklumkan kepada sidang, selepas Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) mengemukakan permohonan mengikut Peraturan Mesyuarat 46.

Mohd Rashid kemudian akur dengan permintaan untuk mengadakan undian belah bahagian selepas ia disokong 15 Ahli Parlimen, seperti prasyarat yang ditetapkan dalam Peraturan Mesyuarat 46.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *