Artis Veteran terima bantuan

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut prihatin dengan nasib artis veteran tempatan yang terkesan teruk akibat impak pandemik Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun malah memberi jaminan bahawa kementeriannya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedia membantu golongan itu daripada tersisih.

Ini menerusi kerjasama dengan Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) bagi memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan dan menikmati kemudahan disediakan kerajaan.

“Kementerian bersetuju menjalinkan kolaborasi dengan PKAVM dengan penglibatan secara aktif ahli-ahli persatuan tersebut di semua Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE),” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada majlis penyampaian sumbangan 200 bakul makanan dan wang tunai kepada artis veteran yang berlangsung di kementeriannya di sini hari ini.

Paling menarik, sebanyak dua buah bas disediakan oleh pihak kementerian bagi membawa artis yang tidak mampu datang berkenderaan dari Kompleks Finas di Hulu Klang, Selangor.

Turut hadir pada program yang julung kali diadakan itu ialah Presiden PKAVM, Datuk Tumiran Mohd. Kasdi dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JKM, Fatimah Zuraidah Sallah.

Mengulas lanjut, Rina berkata, penglibatan artis veteran di PAWE diharap dapat membantu JKM menarik minat ramai warga emas untuk menyertai aktiviti di pusat itu di seluruh negara.

“Kementerian juga menggalakkan penglibatan ahli PKAVM sebagai sukarelawan Kembara Prihatin Negara yang berkonsepkan ‘turun padang’ bantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau malah memaklumkan bahawa kementerian itu turut menyediakan peruntukan Bantuan Khas Perbendaharaan kepada mana-mana persatuan bagi melaksanakan aktiviti bersesuaian.

Rina pada masa sama berharap, kerjasama dengan PKAVM dapat diteruskan pada masa akan datang dan menyeru ahli-ahlinya mengambil peluang menjalankan pelbagai aktiviti berfaedah. – UTUSAN

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *