Jakim perhalusi cadangan ketat SOP pengimportan daging halal

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Penyelarasan Pelan Tindakan Menangani Isu Pemalsuan Logo Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersetuju untuk memperhalusi beberapa cadangan dalam memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pegimportan susula isu kartel daging.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, antaranya dengan memperketat prosedur pengimportan daging halal, pengangkutan dan pergudangan.
“Kerajaan serius dalam isu halal, juga integriti dalam pengurusan halal.
“Dengan sokongan semua pihak, saya yakin usaha ini bakal menatijahkan penyelesaian yang terbaik untuk Malaysia, juga kepada rakyat Malaysia khususnya umat Islam,” katanya dalam ciapan di akaun Twitternya di sini pada Isnin.
Terdahulu beliau menyampaikan ucaptama dalam Rundingan Meja Bulat bersama Pengimport dan Pengedar Daging serta Produk Daging. Turut hadir dalam rundingan itu termasuk pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penggun (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Kastam Diraja Malasyia (JKDM).
Sinar Harian sebelum ini membongkar modus operandi kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.
Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *