Masalah rakyat Selangor: BERSATU tingkat kerjasama dengan Pas, ekoran terima banyak keluhan

SHAH ALAM 15 Jan. – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Selangor  kini giat meningkatkan kerjasama dengan Pas di bawah Perikatan Nasional (PN) atas dasar membantu dan membela rakyat di negeri ini.

Pendirian itu disuarakan oleh kepemimpinan BERSATU Selangor bagi membuktikan bahawa PN sentiasa mengambil berat masalah rakyat selain sedaya upaya menyelesaikannya.

Malah, langkah tersebut dijadikan agenda penting berikutan banyak isu rakyat di Selangor yang gagal diselesaikan hingga kini.

“Kita kini fokus menyelesaikan masalah rakyat Selangor kerana pelbagai aduan kita terima. Kita mahu membantu rakyat serta menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

“Pada masa yang sama BERSATU Selangor giat bekerjasama dengan Pas negeri dan bersama-sama membantu menyelesaikan masalah rakyat,” kata Ketua Penerangan BERSATU Selangor, Mohd. Hamidi Abu Bakar.

Jelasnya, beberapa perjumpaan dan perbincangan dalam kelompok yang kecil sama ada secara rasmi atau tidak rasmi dengan Pas negeri telah diadakan sebelum ini bukan sahaja untuk meningkatkan kerjasama, malah saling kenal-mengenali dan mencari jalan penyelesaian terhadap isu rakyat.

“BERSATU Selangor mendapat kerjasama yang baik daripada Pas negeri dan kerjasama ini tetap diteruskan,” katanya

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *