Tumpuan kepada Penyelesaian Pandemik Covid-19 Tindakan Tepat – Presiden Haluan

KUALA LUMPUR 28 Jan. – Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan) berpendirian sama seperti kebanyakan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)  di negara ini bahawa pilihan raya umum (PRU) tidak perlu diadakan segera berikutan pandemik Covid-19 yang perlu diberi tumpuan penyelesaiannya.

Presiden Haluan, Dr. Abdullah Sudin Ar Rahman berkata, penyelesaian terhadap isu kesihatan rakyat menjadi perkara utama dan tindakan diambil Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong dalam pengisytiharan darurat adalah langkah tepat.

Jelas beliau, pengisytiharan darurat itu adalah demi menjaga keselamatan rakyat berikutan merebaknya Covid-19 hingga menyebabkan terkesan kepada sektor lain terutama ekonomi, pekerjaan dan banyak lagi.

Menurutnya, PRU boleh diadakan pada bila-bila masa setelah pandemik Covid-19 yang menular di negara ini dapat diatasi kerana ia melibatkan nyawa rakyat.

“Tidak perlu PRU segera walaupun terdapat desakan daripada pihak tertentu. Perkara utama dan penting untuk diatasi sekarang ialah penyelesaian masalah rakyat terutama pandemik Covid-19 selain isu ekonomi dan sebagainya.

“Kita kena faham bahawa pandemik ini memudaratkan rakyat jadi keutamaan ialah penyelesaian masalah ini dan bukannya diadakan PRU,” katanya.

Jika PRU disegerakan adalah dikhuatiri ia akan membawa mudarat yang lebih besar bukan sahaja kepada rakyat, malah negara keseluruhannya.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *