Kerjasama Bipartisan Platform Terbaik Baiki Reputasi CPI Malaysia- Ema Syuhaili

<span;>KUALA LUMPUR  30 Jan. – Kesediaan kerajaan untuk meneruskan dasar-dasar baik berkaitan membanteras rasuah seharusnya disambut oleh golongan muda dalam semua parti sebagai usaha bipartisan menangani isu tersebut, kata Pengerusi Srikandi Muda Malaysia, Datin Ema Syuhaili Mohamad Sukor.

Menurutnya, ia tidak seharusnya dipolitikkan sebaliknya boleh dijadikan platform untuk menggerakkan usaha bipartisan sekaligus menggambarkan norma baharu politik di Malaysia.

Tegas beliau, selepas kerajaan bertukar dan sejurus selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menzahirkan komitmen kerajaan untuk tidak mengetepikan usaha membanteras rasuah.

Jelasnya, semua orang perlu sedar bahawa lanskap politik Malaysia telah berubah dalam keadaan di mana sokongan politik di Dewan Rakyat kini hampir seimbang.

“Ketidakstabilan politik di Malaysia kebelakangan ini telah memberikan persepsi kurangnya fokus diberikan kepada pelbagai perkara utama yang perlu ditangani sesebuah kerajaan termasuk usaha membanteras rasuah.

“Pada awal tahun 2019, pihak kerajaan pada waktu itu telah memperkenalkan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 bagi meningkatkan usaha memerangi rasuah secara menyeluruh.

“Ini termasuk pewujudan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) dan Jawatankuasa Anti Rasuah (JAR) Kebangsaan yang terus diadakan secara berkala walaupun dalam tempoh wabak Covid-19 secara atas talian.

“Pihak kerajaan juga memberikan komitmen dalam usaha meningkatkan tadbir urus dan integriti melalui pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP),” katanya.

Pada Khamis, Malaysia dilaporkan jatuh enam anak tangga kepada kedudukan ke-57 daripada keseluruhan 180 negara, dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 dikeluarkan Transparency International (TI).

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr. Muhammad Mohan berkata, Malaysia melonjak ke tangga 51 pada tahun lalu berbanding kedudukan ke-61 dalam CPI sebelum itu.

Kali ini, Malaysia mencatat skor 51 daripada 100 berbanding skor 53 pada 2019, berdasarkan tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara dengan mengikut skala 0 (paling korup) hingga 100 (paling bersih).

Sehubungan itu kata Ema Syuhaili, sokongan bipartisan amatlah diperlukan untuk meneruskan usaha membanteras rasuah termasuk cadangan Rang Undang-Undang Pembiayaan Dana Politik.

“Walaupun ia idea yang diketengahkan oleh kerajaan terdahulu, cadangan yang baik ini haruslah disokong oleh kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang,’’ katanya.

Tegasnya, kesedaran dan kepentingan untuk mengetengahkan agenda bipartisan perlu dimulakan lebih awal kepada golongan belia dan orang muda.

“Dunia selepas Covid-19 telah berubah selama-lamanya. Norma baharu menjadi kebiasaan. Telah sampai masanya untuk kerjasama bipartisan untuk menjadi norma baharu politik Malaysia demi kepentingan rakyat.

“Adalah diharapkan usaha bipartisan terutamanya golongan muda parti politik akan dapat membantu usaha melaksanakan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 secara berkesan.

“Ia mampu membantu meningkatkan kembali ranking CPI Malaysia di peringkat antarabangsa dan seterusnya menyakinkan pelbagai pihak termasuk pelabur luar untuk terus memulih dan mengembangkan ekonomi Malaysia pascapandemik Covid-19,” ujarnya.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *