BERSATU Bahagian Baling catat sejarah terima 1,500 borang permohonan keahlian dalam tempoh dua bulan  

BALING 3 Feb. – Yakin serta percaya dengan perjuangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) terutama berkaitan agenda membela dan berkhidmat kepada rakyat, menyebabkan kebanyakan orang terus menyertai dan menjadi ahli parti BERSATU.

Yang terbaharu, BERSATU Bahagian Baling, Kedah menerima 40 borang keahlian BERSATU.

Perkembangan ini seterusnya menyaksikan penubuhan cawangan baharu melibatkan BERSATU Pekan Baru Pulai.

Borang keahlian BERSATU itu diterima daripada bekas Ketua Cawangan UMNO Pekan Baru Pulai, Md. Desa Abu Hassan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU yang juga Ketua Bahagian Baling, Mohd. Taufik Yaacob memberitahu, dari Disember 2020 hingga Januari 2021, BERSATU Bahagian Baling telah menerima 1,500 borang permohonan untuk menjadi ahli BERSATU.

Jelasnya, perkembangan itu memperlihatkan pihaknya berjaya mendaftarkan cawangan-cawangan yang menjadikan jumlah keseluruhan cawangan di Bahagian Baling sebanyak 206
daripada 60 cawangan yang telah sedia ada.

“Perkembangan ini membuktikan masyarakat Baling khasnya telah menerima baik kepemimpinan Perdana Menteri yang juga Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pada masa sama rakyat juga menerima kepemimpinan Sanusi Md. Nor sebagai Menteri Besar Kedah,” katanya.

Beliau berkata, sebab utama ramai orang menerima dan menyertai BERSATU atas faktor membela dan berkhidmat untuk rakyat terutama dalam masa negara dilanda pandemik Covid-19.

“Rakyat melihat BERSATU fokus kepada agenda membela rakyat terutama dalam keadaan negara kini dilanda pelbagai masalah.

“Dengan kata lain, BERSATU tidak sekali-kali melupakan kepentingan rakyat. Inilah yang diterap dan diamalkan oleh kepemimpinan parti serta ahli-ahli akar umbi,” kata beliau sambil menambah pihaknya masih terus menerima permohonan baharu untuk menjadi ahli BERSATU.

Majlis penyerahan borang keahlian itu dihadiri ahli-ahli jawantankuasa bahagian serta sayap-sayap BERSATU.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *