Bahagian Bachok Turun Padang Hulurkan Bantuan Kepada Penduduk

BACHOK 4 Feb. – Golongan kurang berkemampuan termasuk mereka yang  uzur, terus diberikan pembelaan sewajarnya oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di kawasan ini.

Yang terbaharu, sebanyak tujuh keluarga diberikan bantuan melibatkan tiga buah kampung iaitu Kampung Seri Kemunting, Kampung Beoh dan Beris Lalang.

BERSATU Bahagian Bachok telah menyampaikan dua kerusi roda selain barangan makanan keperluan harian bagi meringankan keluarga terbabit.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi yang juga Ketua BERSATU Bahagian Bachok, Mohd. Zulkifli Zakaria memberitahu, pihaknya menyampaikan bantuan melalui program prihatin rakyat kepada keluarga kurang berkemampuan.

Jelasnya, turut disampaikan ialah kerusi roda kepada ahli keluarga yang uzur.

“Dalam program semalam, pasukan BERSATU bahagian telah turun padang menziarahi keluarga terbabit selain menyampaikan bantuan.

“Kita akan sering turun padang sebaik sahaja mendapat maklumat mengenai penduduk yang memerlukan bantuan.

“Dari semasa ke semasa BERSATU bahagian juga akan mengumpulkan segala maklumat mengenai keperluan penduduk di kawasan ini. Mana-mana keluarga yang memerlukan bantuan akan kita bantu sedaya mungkin,” katanya.

Di samping itu katanya, program prihatin rakyat itu berjaya meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap agenda BERSATU iaitu berkhidmat demi rakyat.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *