Pembahagian jawatan, tugasan serta tanggungjawab kepada UMNO menjadi bukti parti itu tidak pernah dianaktirikan oleh BERSATU – Wan Saiful

SHAH ALAM 17 Feb. – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak pernah menganaktirikan UMNO dan ini terbukti melalui pembahagian jawatan, tanggungjawab serta tugasan kepada UMNO sama ada dalam kerajaan mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, dengan jumlah pembahagian jawatan, tanggungjawab serta tugasan itu secara langsung menafikan dakwaan tersebut.

“Mana anak tirinya? Kalau dilihat dari segi pembahagian jawatan, tanggungjawab serta tugasan yang diberikan kepada UMNO.

“Sebenarnya ia lebih kepada layanan istimewa kepada UMNO,” katanya.

Wan Saiful menjawab pertanyaan dalam Wacana Sinar Harian yang disiarkan secara langsung secara dalam talian di sini.

Wacana itu bertajuk `Tanpa PN, UMNO Sebatang Kara?’ Turut hadir sebagai ahli panel Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan manakala penganalisis politk Prof. Dr. Sivamurugan Pandian turut menjadi ahli panel dalam talian. Moderator program itu dikendalikan oleh Edlynna Hanie Hamid.

Sebelum itu, Shahril menyatakan bahawa UMNO merasakan parti itu dianaktirikan oleh BERSATU.

Shahril juga berkata, UMNO tidak sebatang kara walaupun tanpa Perikatan Nasional (PN).

“Jawapan kepada tajuk perbincangan ini `Tanpa PN, UMNO Sebatang Kara? Jawapannya ialah `tidak’,’’ katanya.

Sementara itu, Sivamurugan berkata, selepas pilihan  raya negeri Sabah baru-baru in, ada berlaku bibit-bibit keretakan dalam hubungan BERSATU dan UMNO.

“Ada berlaku syak wasangka. Dan semua yang berlaku ini (pergolakan politik) rakyat melihatnya,’’ katanya.

Dalam pada itu, Wan Saiful ketika menjawab pertanyaan lain berkata, pada realitinya keahliah BERSATU kian bertambah dengan cepat apabila rakyat melihat agenda parti iaitu membela rakyat dan berkhidmat untuk rakyat.

“Bila orang bercakap mengenai BERSATU, mereka rujuk kepada agenda BERSATU iaitu berkhidmat kepada rakyat.

“Di samping itu rakyat melihat perlunya kestabilan politik dalam negara ini. Rakyat mahu tengok kesatuan politik yang dapat membela nasib mereka,” kata Wan Saiful.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *