PN, Kerajaan Perlu Wujudkan Pekerjaan Baharu Untuk Golongan Muda

KUALA LUMPUR 18 Feb. – Kerajaan dan Perikatan Nasional (PN) perlu menyelesaikan antara isu utama negara sekarang iaitu kehilangan pekerjaan golongan muda selain mewujudkan peluang-peluang perniagaan baharu bagi meningkatkan semula ekonomi negara berikutan terkesan dengan pandemik Covid-19.

Ketua Pemuda Parti Gerakan, Ooi Zhi Yi memberitahu, sejak pandemik itu melanda negara, ramai golongan muda kehilangan pekerjaan dan secara langsung ini membebankian mereka kerana tiada pendapatan.

Menurutnya, usaha berterusan perlu dilakukan bagi mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baharu agar golongan muda dapat beroleh semula pendapatan.

“Kita tahu ramai yang terkesan dengan pandemik Covid-19 termasuk yang hilang pekerjaan dan sebagainya.

“Antara isu  utama sekarang ialah wujudkan peluang pekerjaan baharu terutama bagi golongan muda. Ekonomi juga terkesan jadi langkah-langkah perlu harus dicari agar ekonomi dapat bergerak dan pulih sepenuhnya.

“Di samping itu perlu wujudkan peluang-peluang ekonomi agar golongan muda dapat berniaga dan sebagainya,’’ katanya.

Menurut beliau, pihaknya (Pemuda Gerakan) juga akan bersama-sama PN untuk membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Peluang pekerjaan baharu ini perlu bagi membantu golongan muda tanpa mengira kaum sama ada Melayu, Cina, India dan juga etnik-etnik lain,’’ katanya.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *