Pas Mahu Kerjasama Dengan BERSATU Dipertingkatkan Di Peringkat Negeri, Kawasan

KUALA LUMPUR 19 Feb. – Kerjasama Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam Perikatan Nasional (PN) adalah baik dan berjalan lancar, namun perlu dipertingkatkan lagi.

“Walaupun ada pihak cuba membuat dakwaan bahawa kerjasama itu tidak berjalan lancar, namun semua itu tidak benar,’’ kata Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad.

Menurutnya, Pas sebaliknya berpandangan kerjasama itu perlu dipertingkatkan terutama di peringkat negeri dan kawasan agar rakyat dan masyarakat terus dapat dibela secara lebih berkesan.

“Di peringkat pusat kerjasama Pas dan BERSATU adalah baik dan berjalan lancar dan kita tidak menghadapi banyak masalah.

“Namun, kita mahu kerjasama itu dipertingkatkan lagi terutama di peringkat negeri dan kawasan.

“Kita menerima pelbagai maklum balas dari  peringkat negeri dan kawasan yang mahu kerjasama itu dipertingkatkan lagi melalui program-program bersama,’’ katanya.

Beliau berkata, bagi merealisasikan usaha itu pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Penerangan BERSATU dalam masa terdekat ini.

“Kita mahu mencari jalan agar kerjasama yang wujud di bawah PN itu dapat memberi impak lebih besar kepada rakyat.

“Antaranya ialah meningkatkan lagi program-program secara bersama di bawah PN,’’ katanya.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *