Ketengah Sampaikan Bantuan Kepada Keluarga Ditimpa Bencana Di DUN Kijal

KIJAL 24 Feb. – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mengambil inisiatif menghulurkan bantuan kepada keluarga yang sebelum ini terkesan akibat bencana banjir dan juga mereka yang terjejas pendapatan sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Bantuan itu meliputi bakul makanan berisi pelbagai barangan keperluan asas yang diagihkan kepada beberapa keluarga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.

Bantuan disampaikan oleh Pengerusi Ketengah, Senator Datuk Razali Idris kepada ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said untuk diagihkan kepada keluarga terbabit.

Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Kemaman, Mohd. Zawawi Ahmad yang mengiringi Razali memberitahu, sebanyak 250 bakul makanan disediakan untuk diserahkan kepada keluarga yang dikenal pasti.

“Keluarga terbabit terkesan akibat bencana banjir dan ada juga yang terjejas pendapatan akibat pelaksanaan PKP.

“Bantuan itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan keluarga berkenaan,’’ katanya.

Turut hadir ialah Ahli Jemaah Ketengah, Mohamad Arif Arifin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ketengah  Holding, Mohd. Zaid Sulaiman.

Menurut  Mohd. Zawawi, sumbangan bakul makanan itu juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial dan kemasyarakatan Ketengah kepada penduduk Terengganu.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *