Kuota haji: Bukti keyakinan Arab Saudi terhadap kerajaan Perikatan Nasional

KUALA LUMPUR 11 Mac – Pas mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kejayaan beliau dan kerajaan Malaysia menambah jumlah kuota haji untuk rakyat negara ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kejayaan menambah kuota haji itu juga menggambarkan hubungan baik antara Malaysia dan kerajaan Arab Saudi.

“Malah, yang lebih penting ia juga memperlihatkan bahawa keyakinan kerajaan Arab Saudi terhadap kepemimpinan serta keupayaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ada sekarang,” katanya.

Di samping itu, Tuan Ibrahim berkata, kunjungan Muhyiddin ke Arab Saudi itu merupakan lawatan kedua beliau selepas Indonesia.

“Sehubungan itu, lawatan ke Arab Saudi itu menunjukkan betapa Malaysia menjadikan Arab Saudi sebagai rakan strategik perdagangan dan hubungan dua hala.

“Kita juga yakin banyak lagi perkara akan dibincang pada masa hadapan.

“Ini kerana kerajaan telah mewujudkan jawatan Duta Khas keTimur Tengah iaitu kali pertama dalam sejarah negara yang menunjukkan kesungguhan kerajaan Malaysia menjalinkan kerjasama dengan Arab Saudi dan rantau Asia Barat,” katanya.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *