Pertandingan tiga penjuru tiada masalah pada BERSATU jika jentera parti kuat, mantap selain ahli-ahli setia dan fokus pada kerja

IPOH 14 Mac – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tiada masalah jika berhadapan pertandingan tiga penjuru dalam PRU-15, asalkan jentera parti kuat serta mantap bagi menarik kepercayaan pengundi.

Prof. Madya Dr. Malike Brahim yang menjadi ahli panel dalam program Dialog Penerangan BERSATU Malaysia bagi Negeri Perak berkata, yang penting ahli-ahli BERSATU perlu  setia kepada parti yang secara langsung akan memantapkan kekuatan parti.

“Ahli-ahli parti juga harus fokus kepada kerja-kerja dan turun padang agar pengundi yakin dengan kewujudan BERSATU,” katanya yang juga merupakan ahli akademik dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

Seorang lagi ahli panel. Dr. Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, peperangan politik pada masa kini memerlukan data yang berkaitan dengan media sosial agar maklumat dapat disampaikan kepada rakyat.

“Kita akui banyak program dilakukan oleh BERSATU, namun apakah rakyat mengetahuinya?

“Oleh itu, media sosial perlu digunakan sepenuhnya agar maklumat dapat disampaikan kepada seluruh rakyat,” katanya.

Program Dialog Penerangan BERSATU itu dikendalikan oleh Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan sebagai moderator.

Sementara itu, Setiausaha Badan Pimpinan BERSATU Negeri Perak, Dato’ Zainol Fadzi Paharudin berkata, ahli-ahli parti terutama di peringkat bahagian perlu menunjukkan kehadiran agar rakyat tahu kewujudan BERSATU.

“Kita perlu perbetulkan keadaan di bahagian-bahagian jika terdapat sebarang kelemahan, malah tunjukkan kehadiran kita agar rakyat tahu dan nampak bahawa kita bekerja untuk rakyat,’’ katanya.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *