Scammer wajar dikategorikan musuh rakyat

Baru-baru ini Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengecam perbuatan melepaskan OKT (orang kena tuduh) yang terlibat dalam aktiviti penipuan Macau Scam di Pulau Pinang oleh seorang pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM negeri tersebut. Perbuatan itu jelas sekali suatu pengkhianatan terhadap agama, bangsa dan negara. Pelakunya wajar dihukum keras!

Dalam masa sama, keseriusan PDRM dan SPRM dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan lain termasuk LHDN dalam mengesan, menangkap dan mendakwa pesalah Macau Scam  wajar dipuji dan disokong oleh segenap lapisan masyarakat.

Sudah tiba masanya aktiviti penipuan ini terutama yang dilakukan secara atas talian diperangi habis-habisan. Persoalannya bila masalah ini akan selesai sepenuhnya?

Agensi-agensi penguat kuasa terutama PDRM, pihak berkuasa tempatan, kastam dan imigresen wajar melaksanakan polisi pembersihan dengan konsisten agar maruah dan reputasi mereka bebas dari pegawai-pegawai yang korup hingga sanggup bersekongkol dengan penjenayah.

Kerana nila setitik rosak susu sebelangga, itulah hakikatnya jika ada pengkhianat dalam organisasi kita.

Mereka yang terbukti terlibat dengan `scammer’ wajar dihukum penjara dan dibuang kerja, buka sekadar ditukarkan tempat kerja. Pemberi maklumat wajar dilindungi, manakala semua penjawat awam dan pembuat dasar kerajaan terutama yang berada di jawatan berisiko rasuah wajar terus dipantau.

Satu bentuk `blueprint’ juga wajar diusahakan pihak kerajaan agar Macau Scam dan apa jua bentuk penipuan lain tidak membarah dalam masyarakat kita. Segala inisiatif untuk mencegah, membanteras dan mendidik rakyat kita agar tidak terjerumus dalam aktiviti penipuan ini perlu dilaksanakan di semua peringkat, dari sekolah hingga ke tempat kerja.

Masyarakat kita juga disaran lebih berani ke hadapan dalam melaporkan kegiatan jenayah komersial seperti ini melalui saluran yang ada. Kerajaan boleh melakukan kempen antiscammer peringkat kebangsaan dengan memperbanyakkan iklan-iklan amaran dan nasihat dalam media massa dan media sosial secara berkala.

Macau Scam ini tidak mengenal mangsa. Namun apa yang menyedihkan ialah bangsa kita sanggup dikhianati sesama bangsa walaupun sekampung dan keluarga sendiri hanya kerana sifat tamak serta pentingkan diri.

Satu statistik jumlah kerugian dan kebangkrapan akibat penipuan ini wajar didedahkan kepada umum atau dibentangkan dalam Sidang Parlimen nanti setelah Parlimen dapat dibuka.

Seluruh lapisan masyarakat wajar memainkan peranan dalam memerangi golongan `scammer’. Golongan pendidik dan agamawan juga boleh memainkan peranan mereka dalam memberi teguran serta tunjuk ajar agar masyarakat lebih memahami apakah bentuk aktiviti yang menjurus kepada penipuan dan kesannya terhadap sosioekonomi dan sosiobudaya masyarakat kita.

Jika ada VVIP yang terlibat dalam aktiviti jenayah ini, maka saya seru agar bukan saja tindakan perundangan diambil tanpa rasa takut, malah pihak istana juga wajar menarik balik segala darjah kebesaran yang biasanya digunakan oleh kelompok tersebut untuk menyakinkan orang ramai agar menyertai bisnes mereka yang berunsur penipuan.

Kepada mangsda Macau Scam digesa tidak gentar untuk ke hadapan menjadi saksi bagi mempermudahkan dakwaan terhadap `scammer’  tersebut. Jangan terus leka dibuai janji kononnya pelaburan anda akan dibayar kembali oleh si penipu yang hakikatnya telah pun mencuri wang anda untuk bisnes yang sebenarnya tidak wujud atau sekadar indah khabar sahaja.

 

MUHAMMAD FAIZ NA’AMAN
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *