Misi PN Selangor untuk menang lebih dua pertiga kerusi dalam PRU-15

SHAH ALAM 25 Mac – Perikatan Nasional (PN) Selangor menggerakkan misi menyasarkan untuk merampas kerusi di negeri itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU-15) dengan majoriti lebih besar atau lebih dua pertiga.

Misi yang dianggap tidak mustahil itu berdasarkan perkembangan terkini tanggapan rakyat mengenai gabungan dalam PN melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Pas dan Gerakan.

Malah, tanggapan rakyat itu juga melibatkan kewibawaan serta integriti kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang fokus kepada membantu, membela serta memberi khidmat kepada rakyat serta sikap berbaik-baik dengan semua parti politik.

Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri Selangor, Dato’ Dr. Zulkafperi Hanafi memberitahu, tanggapan rakyat mengenai PN itu adalah senario terkini yang melibatkan kepemimpinan `Abah’ (Muhyiddin Yassin) yang mengutamakan kebajikan rakyat.

“PN Selangor yakin kita boleh menang majoriti lebih dua pertiga dalam PRU-15.

“Malah, kaum Cina dan India juga mula beralih kepada PN dan mereka melihat bahawa PN membela semua kaum.

“Rakyat juga sudah muat dengan perebutan kuasa yang tidak ada kesudahan.

“Lebih penting ialah perubahan sikap rakyat yang lebih yakin kepada PN kerana program-program membela rakyat serta kepemimpinan Abah yang berbaik-baik dengan semua parti politik dan ini memperlihatkan Perdana Menteri tidak mengejar jawatan atau kuasa,” katanya.

Menjawab pertanyaan, beliau berkata, rakyat tidak kira Melayu, Cina dan India melihat bahawa Pakatan Harapan (PH) gagal menunaikan janji-janji manifesto dalam PRU-14.

Jelasnya, kaum Cina melihat kegagalan itu termasuk iklim ekonomi yang muram menyebabkan mereka hilang keyakinan kepada PH.

Mengenai sasaran majoriti lebih besar dalam PRU-15, beliau berkata, PN tetap mengelakkan pertandingan tiga penjuru.

“Jika tiada pertandingan tiga penjuru, kita percaya dapat menang 42 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan, malah mungkin lebih lagi.

“Namun, jika masih berlaku pertandingan tiga penjuru, PN yakin dapat merampas 30 hingga 33 kerusi dalam PRU-15 dan ini masih lebih daripada separuh kerusi yang dipertandingkan,” katanya.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *