PN diterima rakyat kerana agenda perpaduan ummah – Dr. Mazlan  Ali

KLANG 28 Mac – Kerjasama parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) kini semakin diterima kebanyakan rakyat kerana PN berjaya mengetengahkan agenda perpaduan ummah dan penyatuan demi kepentingan bersama.

Perkara itu dinyatakan oleh  ahli panel Dr. Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam Dialog Penerangan BERSATU Malaysia  peringkat Negeri Selangor  di  sini.

Dalam program itu, Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan bertindak sebagai moderator.

Menurut Mazlan, hubungan BERSATU dan UMNO yang selalu dipolemikkan secara langsung memperlihatkan bahawa BERSATU sentiasa fokus untuk terus memberi khidmat kepada rakyat selain mahukan penyatuan.

Jelasnya, umum juga melihat PN sentiasa memikirkan perpaduan ummah demi kebaikan semua kaum.

“Kajian yang dibuat memperlihatkan kerjasama komponen parti dalam PN ke arah perpaduan ummah. Dengan kata lain, kerjasama dan hubungan BERSATU dan Pas tidak ada masalah begitu dengan parti-parti komponen dalam PN, namun keadaan ini sebaliknya berbeza dengan hubungan dengan UMNO.

“Rakyat melihat jika ada mana-mana parti politik yang menolak kerjasama dalam PN, secara tidak langsung menggambarkan parti itu menolak perpaduan ummah,” katanya.

Seterusnya beliau menekankan, perkembangan politik pada masa kini menunjukkan tiada satu pun parti politik yang boleh atau mampu berperanan sendirian untuk mentadbir negara tanpa kerjasama atau sokongan pihak lain.

Di samping itu tambah beliau, PN juga mampu meraih kemenangan dalam PRU-15 walaupun berlaku pertandingan tiga penjuru asalkan PN melipatgandakan lagi usaha ke arah itu.

“Dengan agenda perpaduan ummah, memberi khidmat kepada rakyat dan penyatuan, PN masih mampu memang besar walaupun berlaku pertandingan tiga penjuru kerana rakyat menilai pentingnya perpaduan ummah,” katanya.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *