Perikatan Nasional Selangor tumpu bela rakyat

BERSATU NegeriSelangor ingin merujuk kepada ucapan dasar Presiden UMNO dan beberapa pembahas yang membahaskan usul yang dibawa dalam Perhimpunan Agung UMNO di PWTC baru-baru ini.

Seperti yang semua sedia maklum bahawa UMNO dalam Perhimpunan Agung mereka telah membuat keputusan untuk memutuskan perhubungan dengan
BERSATU tetapi memberi tempoh hingga Ogos ini jika sekiranya Pilihan Raya Umum ke 15 tidak dibuat mulai tarikh tersebut.

Keputusan ini turut disokong oleh UMNO Selangor.  Walaupun keputusan mereka untuk memutuskan hubungan dengan BERSATU namun mereka memutuskan untuk kekal berada dalam kerajaan buat masa ini.

Badan Pimpinan BERSATU Negeri Selangor melihat situasi ini dengan berlapang dada dan menerimanya sebagai salah satu lumrah dalam berpolitik di Malaysia ini.

Kami menerima keputusan UMNO ini sebagai satu tonik untuk kami bekerja lebih kuat lagi dan akan beristiqamah dalam memastikan nasib rakyat terbela dan dijaga, bukan terlalu menumpukan perebutan kuasa dan kerusi.

Namun, matlamat kami di Selangor masih utuh iaitu untuk merampas negeri Selangor dari PH bagi memastikan rakyat negeri Selangor akan lebih terbela dan ekonomi negeri Selangor bertambah makmur.  BERSATU Selangor bersedia untuk hadapi segala kemungkinan bila-bila masa sahaja.

Harus ditegaskan bahawa keutamaan kerajaan Perikatan Nasional hari ini adalah untuk membawa Malaysia keluar dari pandemik Covid-19 yang melanda dunia di mana negara kita Malaysia tidak terkecuali.

Malahan, pandemik ini telah membawa banyak kerosakan terutama dalam sektor ekonomi. Selain ramai rakyat negara ini yang sengsara dihidapi virus Covid 19 hingga menyebabkan banyak kematian, jutaan rakyat juga telah terkesan secara ekonomi di mana ramai antara mereka hilang punca pendapatan dan kehidupan mereka tidak lagi seperti sebelum pandemik melanda.

Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan negara ini kembali pulih dari dua kerosakan ekonomi iaitu kerosakan dari pemerintahan PH selama 22 bulan dan kerosakan akibat pandemik Covid-19.

DATUK ABDUL RASHID ASARI
Pengerusi Badan Pimpinan BERSATU Negeri Selangor
merangkap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU dan Ahli Dewan Undangan Negeri Selat Klang

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *