Pandangan Hadi tepat, tolak politik selamatkan peribadi

Bersatu menyambut baik seruan PAS untuk mengajak semua kumpulan Islam menyelamatkan negara dalam Perikatan Nasional (PN) yang berteraskan “Islam memimpin dan berintegriti.”

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, kenyataan Abdul Hadi itu hadir tepat pada masanya.

“Pandangan presiden PAS ini memang tepat sekali bahawa teras pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional ini adalah integriti.

“Saya juga bersetuju dengan penegasan Tuan Guru Haji Hadi bahawa kita menolak politik yang bertujuan semata-mata untuk menyelamatkan peribadi pemimpin dan kumpulannya tanpa menghiraukan rintihan rakyat mengenai kesan wabak yang menimpa dunia,” katanya dalam kenyataan.

Kata Wan Saiful, Bersatu ditubuhkan untuk menjadi parti baru Melayu yang memperjuangkan integriti, tadbir urus yang baik, pembanterasan rasuah dan salah guna kuasa, serta menjamin kebebasan sistem kehakiman dan perundangan negara.

“Kita tidak mahu pengalaman buruk negara berulang, tatkala banyak institusi pentadbiran dirosakkan oleh rasuah dan salah guna kuasa tidak lama dahulu.

“Maka penekanan yang diberikan oleh presiden PAS itu adalah amat tepat dan amat sesuai.

“Inilah ketegasan yang melambangkan kita cakna rakyat dan prihatin dengan nasib rakyat,” katanya.

Umno dalam perhimpunan agung tahunannya baru-baru ini memutuskan kerjasama dengan Bersatu dan memberikan mandat kepada pimpinan tertingginya untuk menentukan tarikh yang sesuai bagi menarik diri daripada kerajaan PN.

Usaha itu didakwa pemimpin Bersatu diterajui oleh pemimpin Umno yang digelar sebagai ‘kluster mahkamah’.

“Kluster mahkamah” merujuk kepada beberapa pemimpin Umno yang berdepan tindakan mahkamah atas pertuduhan rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasa.

Kalau anda terlepas…

Kluster kabinet ada pakatan singkir Zahid?
Di antara pemimpin Umno yang digolongkan dalam kumpulan ini adalah Presiden Umno sendiri, Ahmad Zahid Hamidi yang sedang menghadapi 47 pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

Bagaimanapun Zahid menafikan dakwaan berkenaan.

Menurut Wan Saiful, rakyat memerlukan pemimpin yang ikhlas dan jujur.

“Dalam suasana hari ini, yang kita perlu ialah keikhlasan dan kejujuran untuk menyantuni dan membantu rakyat.

“Bukan retorik lakonan seolah-olah ikhlas dan jujur, tetapi sebenarnya hanya mahu membolot kuasa untuk kepentingan diri sendiri,” katanya.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *