Penduduk Kampung Pasir isytihar sokong kepemimpinan Abah

SENAI 4 April – Program menyantuni rakyat yang bertujuan menyelesaikan pelbagai isu masyarakat oleh Perikatan Nasional (PN) secara berterusan berjaya menambat hati penduduk hinggakan mereka secara terbuka menyatakan sokongan padu terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Yang terbaharu, kira-kira 100 penduduk di Kampung Pasir di sini yang layak mengundi menyerahkan borang keahlian untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Dengan penyerahan borang itu, seluruh penduduk kampung berkenaan secara terbuka menyatakan sokongan kepada PN.

Ketua BERSATU Bahagian Kulai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Permai, Tosrin Jarvanti berkata, penduduk kampung berkenaan tertarik dan yakin dengan kepemimpinan `Abah’ (Muhyiddin) kerana mengutamakan integriti.

Menurutnya, penduduk juga melihat Muhyiddin sejak awal memegang jawatan Perdana Menteri sentiasa fokus menangani masalah rakyat dan tidak pernah melayani desakan politik pembangkang yang sibuk dengan PRU-15.

“Penduduk sudah muak dengan perebutan jawatan oleh parti-parti politik pembangkang. Apabila Muhyiddin jelas memberi fokus kepada isu rakyat termasuk menangani pandemik Covid-19, penduduk sangat menghargai langkah kerajaan itu,” katanya.

Dalam program hari ini, selain menerima borang keahlian daripada penduduk Kampung Pasir, PN turut menyampai bantuan barangan dapur dan wang tunai kepada 20 keluarga kurang bernasib.

“Penduduk terbabit terkesan dan mereka memang memerlukan bantuan.
“Hari ini BERSATU dan pemimpin Pas kawasan Kulai sama-sama turun menyantuni penduduk serta menyampaikan sumbangan,” katanya.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *