Eratkan perpaduan, persefahaman tanpa mengira perbezaan politik – Prof. Mohd. Roslan

KUALA LUMPUR 7 April – Menjelang Ramadan ini, semua pihak digesa bukan sahaja menyemarakkan sambutan bulan tersebut, malah menjadikan ia sebagai bulan mengeratkan perpaduan serta persefahaman.

Gesaan itu dibuat oleh Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Prof. Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor sambil meminta perpaduan dan persefahaman itu turut melibatkan parti-parti politik.

Beliau  berkata, umat Islam perlu mengambil kesempatan dan keberkatan Ramadan dan menjadikan ia sebagai bulan penyatuan umat Islam.

“Dengan peruntukan bantuan Ihya’ Ramadan yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri semalam, masjid dan surau boleh menggunakan peruntukan tersebut dengan sebaik mungkin.

“Buatlah program atau aktiviti yang dapat mengeratkan perpaduan untuk semua jemaah di samping menyemarakkan lagi bulan Ramadan,” katanya.

Semalam, Zulkifli menyampaikan bantuan Ihya’ Ramadan bernilai lebih RM9.2 juta untuk masjid dan surau-surau yang berdaftar sekitar Wilayah Persekutuan.

Mohd. Roslan menambah, dengan sumbangan tersebut, banyak program boleh dilaksanakan dan yang penting ia dapat memberi manfaat serta merapatkan penyatuan umat Islam.

Mohd. Roslan seterusnya mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan kerana prihatin dengan umat Islam terutama bagi menyemarakkan lagi sambutan Ramadan tahun ini.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *