Semakin ramai sertai BERSATU Bahagian Bintulu atas faktor yakin dengan kerajaan Pusat

BINTULU 3 Mei – Projek-projek pembangunan kerajaan Pusat untuk Bintulu terutama di kawasan luar bandar memberi kesedaran kepada penduduk bahawa kerajaan yang ada sekarang dan dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin, sentiasa mengutamakan rakyat.

Perkembangan itu menyebabkan sehari demi sehari ramai penduduk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Bintulu.

Faktor terpenting penyertaan mereka ialah projek-projek pembangunan itu bukan sahaja memberi pelbagai kemudahan, malah melibatkan penyertaan penduduk yang secara langsung meningkatkan lagi ekonomi rakyat.

“Sebelum ini kita akui penduduk tidak berminat menyertai BERSATU. Tapi kini boleh dikatakan setiap hari ada sahaja yang memohon menjadi ahli BERSATU.

“Penduduk melihat Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memimpin kerajaan Pusat tidak meminggirkan pembangunan di kawasan luar bandar Bintulu.

“Setiap projek pembangunan itu akan memberi kemudahan kepada penduduk selain penduduk juga terlibat sama yang secara langsung meningkatkan lagi ekonomi mereka,” kata Ketua BERSATU Bahagian Bintulu, Duke Janteng.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, kawasan Bintulu kini diberikan sebanyak 10 projek pembangunan oleh kerajaan Pusat termasuk pemasangan pencawang yang membolehkan penduduk luar bandar mendapat kemudahan internet.

Menurutnya, banyak lagi projek pembangunan di Bintulu dan penduduk amat gembira kerana ekonomi mereka juga meningkat.

“Penyertaan penduduk yang bertali arus menyertai BERSATU Bahagian Bintulu menyaksikan sehingga kini kita mempunyai 22,370 ahli.

“Yang terbaharu, kita menerima 80 permohonan ahli baharu untuk menyertai bahagian ini.

“Kita juga baharu sahaja melancarkan Pusat Gerakan BERSATU untuk 25 cawangan BERSATU dalam kawasan Sebauh,” katanya.

Menjawab pertanyaan, Duke berkata, penubuhan pusat-pusat gerakan dalam bahagian Bintulu secara langsung sebagai persediaan rapi BERSATU ke arah PRU-15.

“Kita sudah bersedia dan sentiasa bersedia,” jawabnya ringkas.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *