3,000 orang terima zakat daripada Ahli Parlimen Tanah Merah

TANAH MERAH 10 Mei – Sebanyak 3,000 orang melibatkan golongan cacat, ibu tunggal dan keluarga asnaf menerima zakat dari Ahli Parlimen Tanah Merah merangkap Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Pemberian zakat itu yang diuruskan secara berperingkat-peringkat melibatkan peruntukan sebanyak RM300,000.

Antara kawasan penduduk yang menerima zakat itu termasuk Kemahang 1, 2 dan 3 serta kawasan-kawasan lain dalam Parlimen Tanah Merah.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tanah Merah, Bahari Mohamad Nor memberitahu, pihaknya membuka beberapa pusat penyerahan zakat bagi memudahkan penduduk yang layak, datang dan menerima pemberian zakat tersebut.

Jelasnya, pemberian zakat itu akan diselesaikan keseluruhannya sebelum sambutan Aidilfitri ini.

“Pemberian zakat itu adalah dari Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz melibatkan peruntukan RM300,000.

“ Kita telah mengenal pasti sebanyak 3,000 orang dalam kawasan Parlimen ini yang layak menerima zakat.

“Mereka ini dari kalangan orang cacat, ibu tunggal, keluarga asnaf dan banyak lagi,” katanya.

Menjawab pertanyaan, beliau berkata, pembukaan beberapa pusat penyerahan zakat itu bagi mempercepatkan pemberian zakat selain memudahkan penerima untuk datang.

“Dengan cara ini, kita juga dapat mengawal SOP semasa penduduk mengambil zakat masing-masing. Ketika itu juga kakitangan kita turut memberi nasihat mengenai SOP kepada penduduk bagi menyambut Aidilfitri.

“Maklum balas daripada penduduk juga amat positif kerana mereka dapat maklumat yang jelas mengenai pelaksanaan SOP mengikut cara yang betul,” katanya.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *