Masalah air, jalan raya: Penduduk digesa berbincang, jangan bertindak bersendirian

LIBARAN 10 Mei – Kalangan penduduk terutama yang tinggal di kawasan luar bandar digesa supaya berbincang dengan pihak berkenaan bagi mencari jalan penyelesaian yang melibatkan isu-isu pembangunan termasuk masalah air dan jalan raya.

Pada masa sama, penduduk juga diminta jangan bertindak bersendirian yang kelak boleh mengusutkan lagi keadaan.

Ahli Parlimen Libaran merangkap Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Libaran, Datuk Zakaria Mohd. Edris berkata, langkah berbincang adalah lebih baik serta berkesan berbanding bertindak bersendirian.

“Saya yakin jika penduduk bersatu dan berbincang dengan pihak berkuasa, masalah pembangunan yang mereka kehendaki termasuk isu air bersih dan jalan raya yang lebih elok, akan dapat diselesaikan.

“Apa pun jua, penduduk janganlah berputus asa dalam memohon pembangunan kerana memang itu hak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program berbuka puasa bersama penduduk di Masjid Nurul Ikhlas, Kampung Sinar Baru, Batu 12 di sini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik, Jaffari William.

Dalam majlis itu , sebanyak 50 asnaf diberikan duit raya selain sumbangan untuk masjid berkenaan bagi membolehkan pelbagai aktiviti keagamaan dijalankan.

Zakaria juga menyampaikan buah kurma selain biskut raya untuk penduduk bagi menyambut Aidilfitri.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan penduduk agar sentiasa menjaga keselamatan diri termasuk tempat tinggal dalam kegembiraan menyambul Syawal.

“Dalam kegembiraan menyambut Syawal, sentiasa berhati-hati di jalan raya, begitu juga jaga keselamatan anak-anak dan tempat tinggal,” katanya.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *