Pengerusi Prasarana: Lantik orang muda

BANDAR RAYA MELAKA 27 Mei – Armada BERSATU Kota Melaka meminta kerajaan melalui Kementerian Kewangan agar mempertimbangkan supaya pengganti Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Pengerusi Prasarana dilantik dari kalangan orang muda.

Setiausaha Armada BERSATU Negeri Melaka merangkap Ketua Armada Kota Melaka, Mohamad Arib Abu Kasim berkata, sudah tiba masanya kerajaan memberi peluang dan kepercayaan sepenuhnya kepada orang muda untuk menerajui GLC gergasi itu.

Menurutnya, orang muda juga mempunyai kekuatan serta kebolehan jika diberikan peluang untuk menerajui sesebuah GLC gergasi.

“Berilah kepercayaan dan ini bukannya mahu menutup peluang orang lain dari kalangan orang politik untuk memegang jawatan itu.

“Malah, yakinlah orang muda pun ada idea, kekuatan serta keberanian walaupun tugasan itu bakal berhadapan pelbagai rintangan termasuk dari orang politik,” katanya.

Di samping itu, beliau juga mahu kerajaan memberi beberapa syarat kepada bakal Pengerusi Prasarana yang baharu supaya memberi tumpuan kepada meningkatkan pencapaian serta kejayaan Prasarana.

Jelasnya, antara syarat yang boleh difikirkan untuk memilih bakal Pengerusi Prasarana ialah harus membuktikan pencapaian serta kejayaan Prasarana dalam masa dua hingga tiga tahun, berintegriti dan sebagainya.

“Kita juga mahu bakal pengerusi itu nanti dapat mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini terutama golongan muda.

“Jika kerajaan berpendapat sudah tiba masanya jawatan itu tidak diberi kepada orang politik, saya yakin langkah ini mampu meningkatkan pencapaian Prasarana,” katanya.

Isu pelantikan pengerusi baharu Prasarana itu kini menjadi perbualan hangat berikutan penamatan perkhidmatan Tajuddin serta-merta.

Sebelum ini, pelbagai desakan dibuat supaya perkhidmatan Tajuddin ditamatkan berikutan kemalangan dua tren LRT yang mengakibatkan ramai cedera.

Hanya selang sehari selepas kemalangan itu, Tajuddin menerima surat penamatan perkhidmatannya yang ditandatangani oleh Menteri Kewangan.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *