Total lockdown: Percepat bantuan kepada rakyat, sektor ekonomi

KUALA LUMPUR 30 Mei – Kerajaan digesa mempercepatkan bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi sepanjang pelaksanaan ‘total lockdown’ bermula 1 Jun.

Exco Armada BERSATU Nasional, Abdul Mutalib Hasan berkata, jika pakej bantuan itu dapat disegerakan ia secara langsung dapat menghilangkan kegusaran dalam kalangan rakyat.

Abdul Mutalib Hasan, exco ARMADA BERSATU National.

Menurutnya, antara langkah yang mungkin boleh difikirkan kerajaan ialah melaksanakan kembali skim bantuan tunai, subsidi upah, bakul makanan dan moratorium secara automatic tanpa caj.

Jelasnya, pelaksanaan moratorium itu memandangkan pihak bank masih dapat mencatatkan keuntungan.

“Langkah mempercepatkan bantuan ini diyakini dapat terus menjamin kelangsungan hidup rakyat.

“Selain itu, beberapa pakej rangsangan dan ekonomi yang diperkenalkan sebelum ini boleh diperkasakan lagi seperti PERMAI dan banyak lagi.

“Armada yakin bahawa kerajaan sudah mempunyai pelan tindakan yang terbaik bagi membantu rakyat sepanjang pelaksanaan ‘total lockdown’ ini,” katanya.

Beliau juga meminta kerajaan terus fokus kepada agenda membantu dan menyelesaikan masalah rakyat walaupun menerima pelbagai tohmahan mahupun desakan politik daripada pembangkang.

“Bantuan juga boleh difikirkan kepada pemain perusahaan kecil dan sederhana, berkaitan bayar sewa kedai dan banyak lagi tanpa memberi tumpuan kepada satu sektor ekonomi sahaja.

“Juga termasuk bantuan kepada para pekerja yang terjejas,” katanya.

Di samping itu, beliau meminta rakyat memahami pelaksanaan ‘total lockdown’ kerana ia merupakan jalan terakhir bagi menyelamatkan nyawa rakyat dalam membendung penularan Covid-19.

“Jika rakyat masih berdegil dengan tidak mematuhi SOP, pasti angka penularan wabak itu akan bertambah dan kesannya nanti lebih besar.

“Sebelum terlambat eloklah kita patuh serta mendisiplinkan diri dalam hal ini,’ katanya.

 

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *