Perlu ada tarikh tutup daftar vaksin

Peratusan rakyat yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin masih belum memuaskan. Saya seru semua rakyat segera mendaftar kerana vaksinasi penuh adalah satu-satunya cara kita boleh benar-benar menang dalam melawan Covid-19.

Vaksinasi adalah antara perkara paling penting dalam ‘exit strategy’ menghadapi wabak ini.

Tidak dinafikan mungkin ada rakyat kita yang menghadapi masalah untuk mendaftar. Pelbagai bentuk usaha ‘outreach’ sedang dan perlu dibuat oleh kerajaan untuk membantu mereka mendaftar.

Tetapi ramai juga masih mengambil sikap sambil lewa, mahu tunggu dan lihat dahulu sebelum mendaftar. Ada yang ambil mudah, asyik bertangguh daripada mendaftar. Di samping itu ada pula dakyah golongan anti-vaksin. Semua ini menyebabkan kadar pendaftaran masih rendah.

Kita mesti memandang serius keperluan untuk mendaftar diri dan keluarga untuk mendapatkan vaksin. Kerajaan perlukan data pendaftaran untuk memudahkan urusan logistik dan perancangan agihan vaksin. Jika semua kita sudah mendaftar, barulah kita akan ada data yang tepat mengenai taburan sebenar para penerima.

Negara kita mempunyai infrastruktur yang pelbagai yang boleh mempermudahkan proses suntikan vaksin. Kita ada dewan orang ramai di kampung dan daerah yang boleh digunakan. Ada dewan sekolah. Di lokasi yang tiada dewan, kita boleh sediakan pusat suntikan bergerak. Kita juga ada banyak pusat kesihatan serta klinik swasta yang saya yakin boleh dimanfaatkan. Tetapi tanpa data yang betul mengenai taburan penerima, sukar untuk membuat perancangan tepat dalam mengagihkan vaksin yang terhad.

Daerah A mungkin mempunyai jumlah penerima yang lebih ramai daripada daerah B. Maka strategi agihan di A sudah pasti perlu berbeza dari B. Dan jika di Kampung C bilangan penduduknya ramai, maka mungkin boleh diwujudkan PPV sementara atau PPV bergerak di situ. Tetapi keputusan sebegini hanya boleh dibuat setelah ada data pendaftaran yang betul.

Untuk memastikan ada ‘sense of urgency’ dalam kalangan rakyat, sudah sampai masanya kerajaan menetapkan satu tarikh tutup untuk mendaftar. Semua rakyat mesti daftar sebelum tarikh itu.

Contohnya, katalah jika ditetapkan bahawa pendaftaran dibuka hanya hingga hujung Julai. Dengan penetapan tarikh tutup itu saya yakin lebih ramai rakyat merasakan penting untuk mereka segera mendaftar sekarang.

Jika ada tarikh tutup, semua usaha kerajaan dan NGO boleh digembling untuk menjayakan kempen pendaftaran vaksinasi dalam tempoh masa yang ditetapkan. Individu pun akan pandang lebih serius. Maka usaha semua pihak akan jadi lebih berfokus.

Paling penting, dengan data pendaftaran penuh, kerajaan boleh meneliti maklumat yang lebih lengkap untuk membuat keputusan mengenai agihan vaksin ke lokasi-lokasi di seluruh negara.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *