Zahid umum tarik balik sokongan pada PM, apa kata KP BERSATU?

KUALA LUMPUR, 8 Jul – Pengumuman yang dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada malam Rabu berhubung parti itu menarik semula sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak memberi kesan kepada perjalanan kerajaan.

Ketua Penerangan BERSATU Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata ini kerana dalam sistem demokrasi Westminster, kerajaan dibentuk oleh seorang Perdana Menteri berdasarkan sokongan terbanyak daripada ahli-ahli parlimen.

“BERSATU berpandangan bahawa dalam situasi ini, Dato’ Seri Ahmad Zahid bin Hamidi sendiri yang sebenarnya telah gagal untuk menjaga perpaduan dan kebersamaan di kalangan parti-parti politik Melayu-Islam, gagal memahami bahawa rakyat menuntut sebuah kerajaan yang prihatin dan mendahulukan keperluan rakyat, gagal memahami bahawa rakyat semakin muak dengan politik berlebihan, gagal memanfaatkan sebegitu ramai tokoh UMNO yang berada dalam kerajaan untuk kita semua bersama-sama memberi tumpuan berkhidmat untuk rakyat, dan gagal meletakkan agenda rakyat lebih tinggi daripada agenda peribadi.

“Dari segi menjaga kebajikan rakyat, menjaga kesihatan rakyat, dan membina semula ekonomi, kerajaan sedang menuju ke arah kejayaan. Tidak ada sebarang ugutan atau tekanan yang boleh menutup hakikat sebenar bahawa kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sentiasa memberi keutamaan kepada agenda rakyat.

“BERSATU berdiri teguh mendokong kepimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. BERSATU mengambil sikap untuk meneruskan tumpuan kepada menjaga kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Malam tadi, Mesyuarat ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan parti itu menarik balik sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkuat kuasa serta-merta.

Selaras keputusan itu, UMNO menuntut supaya Muhyiddin meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad bagi menguruskan hal pandemik COVID-19 dan bantuan kepada rakyat.

Namun, Wan Saiful menolak tuduhan Ahmad Zahid bahawa kerajaan telah gagal memenuhi aspirasi rakyat.

Katanya, tuduhan-tuduhan Ahmad Zahid dianggap hanya sekadar ulang suara tohmahan yang sering disebut oleh pembangkang, terutama PKR dan DAP.

“Pelbagai bentuk bantuan telah dikeluarkan oleh kerajaan dalam rangka membela nasib rakyat dan membina semula ekonomi negara, dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500 bilion setakat ini.

“Tidak pernah ada pakej bantuan yang lebih tinggi daripada apa yang dikeluarkan oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, baik dari segi menjaga kebajikan rakyat mahupun memberi suntikan kepada pembinaan semula ekonomi,” katanya.

Malah, Wan Saiful menyifatkan Pelan Pemulihan Negara telah menggariskan strategi yang jelas bagi membawa negara keluar daripada belenggu wabak Covid-19.

“Vaksinasi menjadi senjata utama kita, dan pada penghujung Julai bekalan vaksin yang kita terima akan meningkat ke 16 juta dos. Pemberian vaksin harian telah meningkat kepada lebih 300,000 dos sehari.

“Dari segi menjaga kebajikan rakyat, menjaga kesihatan rakyat, dan membina semula ekonomi, kerajaan sedang menuju ke arah kejayaan. Tidak ada sebarang ugutan atau tekanan yang boleh menutup hakikat sebenar bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin sentiasa memberi keutamaan kepada agenda rakyat,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *