27,000 kampit beras diagihkan kepada penduduk Tanah Merah

TANAH MERAH 13 Julai – Sebanyak 27,000 kampit beras dengan setiap satu seberat 10 kilogram diagihkan kepada penduduk yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di sini.

 

Agihan dalam jumlah yang banyak itu dilakukan setelah BERSATU Bahagian Tanah Merah menerima permintaan yang banyak daripada penduduk dalam kawasan Parlimen Tanah Merah,.

 

Ketua BERSATU Bahagian Tanah Merah, Bahari Mohamad Nor berkata, agihan beras itu merupakan inisiatif Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abd. Aziz merangkap Timbalan Menteri Pertahanan bagi membantu penduduk di Tanah Merah.

 

“Kita agihkan kepada semua 27, 000 kampit itu kepada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ketua-ketua cawangan.

 

“Agihan beras itu sebagai bantuan tambahan kepada Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bagi membantu golongan terjejas,” katanya.

 

Bahari berkata, penyerahan beras itu akan diagihkan dalam jangka masa minggu melalui ketua cawangan, penghulu dan jentera parti.

 

“Langkah mengagihkan beras itu sedikit sebanyak mengurangkan beban penduduk terbabit yang terkesan akibat pandemik Covid-19 selain mereka yang hilang punca pendapatan.

 

“Dari semasa ke semasa kita akan ada lagi bantuan seumpama ini dengan mengerakkan penghulu dan ketua cawangan bagi mendapatkan maklumat penduduk yang terjejas terutamanya mereka yang bekerja sebagai buruh, gaji harian,” katanya.

 

Katanya, peruntukan yang disalurkan pihak kerajaan sebanyak RM300,000 kepada Ahli Parlimen akan digunakan sebaik mungkin dan tidak ada prosedur yang menyukarkan untuk mendapat bantuan berkenaan.

 

“Jika ada masalah tiada bekalan makanan di rumah beritahu kami terutamanya kepada ketua kampung dan ketua cawangan bagi membolehkan pihak kami mengambil tindakan segera,” katanya.

 

 

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *