Benarkan aktiviti korban sempena Aidiladha, mohon pencerahan mufti keluarkan SOP

 

PORT DICKSON 13 Julai – Jabatan Mufti negeri dimohon memberikan pencerahan dan garisan panduan SOP tertentu bagi membolehkan aktiviti korban dilaksanakan sempena Hari Raya Aidiladha.

Langkah mengeluarkan SOP yang ketat serta membenarkan aktiviti korban secara langsung dapat membantu umat Islam yang terkesan akibat Covid-19.

“Saya yakin dengan SOP yang ketat dikeluarkan oleh Jabatan Mufti negeri, rakyat pasti dapat mematuhinya di samping dipantau oleh pihak berkuasa.

“Dengan membenarkan aktiviti korban, daging korban itu dapat diagihkan kepada umat Islam yang terkesan akibat Covid-19.

“Saya yakin ramai umat Islam yang memang memerlukan sumbangan daging korban,” kata Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Port Dickson, Md. Isa Adam.

Di samping itu, kata beliau, pihaknya menerima banyak pertanyaan daripada penduduk mengenai SOP aktiviti korban serta kebenaran yang sepatutnya diperolehi dari pihak berkuasa.

Menurutnya, SOP dan kebenaran aktiviti korban perlu diselaraskan dan bukan sahaja dibenarkan di pusat penyembelihan, malah di kawasan-kawasan masjid dan sebagainya.

“Saya yakin, dengan SOP yang ketat, dengan disiplin serta pemantauan pihak berkuasa, aktiviti korban dapat dijalankan dan terhindar dari penularan Covid-19,” katanya.

 

 

 

 

 

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *