Rakyat mahu ahli politik bantu, ketepi perbezaan politik ketika krisis COVID-19

KUALA LUMPUR, 16 Jul — “Mereka mahukan ahli politik yang perbanyakkan program pembangunan rakyat serta membantu masyarakat.”

Itu reaksi Ketua Bahagian BERSATU Bintulu Duke Janteng yang bersetuju dengan kenyataan Ketua Penerangan BERSATU Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mahu perbezaan politik masing-masing wajar diketepikan dan mendahulukan keperluan rakyat dalam menghadapi krisis COVID-19.

Duke menyifatkan ahli politik yang gila kuasa sebagai mementingkan diri dan suka bergaduh sesama sendiri.

“Rakyat memang sudah meluat dengan ahli politik yang suka berebut kuasa serta mementingkan diri sendiri.

“Mereka mahukan ahli politik yang buat program pembangunan rakyat, dan bantu masyarakat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Saiful dalam kenyataan baru-baru ini berkata jika orang politik terus bertelagah, rakyat akan muak dengan semua ahli politik secara keseluruhan walaupun sebenarnya yang bermasalah hanya satu kluster kecil sahaja.

Ini kerana, kata Wan Saiful, semua wakil rakyat perlu memainkan peranan membantu rakyat.

“Kita tolak tepi lah kluster mahkamah yang ada agenda peribadi.

“Saya yakin rakyat nampak sifat hipokrit mereka yang terdesak mempergunakan jentera politik untuk selamatkan diri,” katanya.

Dalam pada itu, Duke menegaskan BERSATU Bintulu akan lebih memfokuskan pembangunan rakyat, terutamanya di luar bandar.

Antara fokus, pembangunan ekonomi, program pendidikan dan pemasangan internet jalur lebar di kawasan luar bandar.

“Dengan pemasangan serta permantapan akses internet di luar bandar, ianya dapat memudahkan pembelajaran anak-anak selain membina infrastruktur yang mantap untuk masyarakat di luar bandar.

“Untuk pembangunan ekonomi, program ini memberi peluang kepada keluarga yang kurang kemampuan untuk menceburi dalam industri serta perniagaan telur itik.

“Sasaran program ini adalah untuk memberikan sumber pendapatan sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan kepada golongan ini selain mengeluarkan mereka dari B40 ke M40,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *