DKLI sasar pengeluaran susu lembu 8.5 juta liter, 1,000 ekor lembu setahun

KOTA KINABALU, 29 Julai — Desa Keningau Livestock Industries Sdn Bhd (DKLI) menyasarkan pengeluaran susu lembu tahunan sebanyak 8.5 juta liter di samping 1,000 ekor lembu yang bersamaan dengan 500 tan daging lembu setahun.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata bagi mencapai sasaran itu, DKLI akan melakukan usaha pengembangan dengan kos RM87.83 juta untuk meningkatkan keupayaannya bagi menampung 2,000 ekor lembu tenusu dan daging lembu.

“Desa telah mengambil alih projek ini, dan kita mengharapkan industri lembu tenusu negeri yang berkembang akan melengkapkan projek ternakan tenusu Desa sedia ada di Kundasang yang kini berjalan lancar,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

DKLI ditubuhkan apabila Desa Cattle (Sabah) Sdn Bhd, syarikat milik penuh kerajaan negeri, mengambil alih Pusat Ternakan Bersepadu Keningau (KILC) daripada Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) pada 1 Julai lepas.

Hajiji berkata jumlah pelaburan modal awal yang diperlukan untuk pembangunan projek itu dianggarkan RM118 juta dan dibahagikan kepada dua fasa.

Fasa pertama meliputi projek di bawah SEDIA berjumlah RM57.3 juta yang telah siap pada 19 Ogos 2013 melalui pembiayaan Persekutuan.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *