Armada BERSATU beri penghargaan sokong Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 30 Julai — Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyatakan penghargaan kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan empat wakil rakyat bebas kerana menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Armada BERSATU, Senator Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkata beliau dalam masa yang sama turut menyatakan pendirian untuk terus teguh bersama Perdana Menteri.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk menyokong keputusan yang telah ditetapkan oleh Kabinet termasuk pendirian kerajaan membatalkan Ordinan-ordinan Darurat.

“Kami yakin dengan sokongan lebih 110 Ahli Parlimen kepada kerajaan hari ini menjamin kestabilan dalam usaha memerangi pandemik Covid-19, menyelesaikan masalah ekonomi negara dan menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) serta pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Armada BERSATU turut menjunjung kasih titah pandangan dan keprihatinan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong pada 29 Julai lalu.

“Kami sentiasa mengambil pendirian yang tegas dalam mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan dan sentiasa mendukung keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *