Faizal Azumu bantu PM tumpu isu kesihatan dan ekonomi

KUALA LUMPUR, 6 Ogos — Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pelantikan beliau ke jawatan itu adalah untuk membantu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi tumpuan khas kepada masalah menangani krisis kesihatan dan ekonomi rakyat.

Ahmad Faizal berkata antara perkara yang akan diberi tumpuan oleh beliau ialah jalinan komuniti khususnya dalam menyampaikan pandangan rakyat kepada perdana menteri.

“Pertama sekali saya ingin ucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana telah melantik saya sebagai penasihat khas beliau.

“Antara perkara yang saya diberikan tumpuan adalah dari segi jalinan komuniti iaitu ‘engagement’ dengan masyarakat yang tentunya ada banyak pandangan yang nak disampaikan kepada perdana menteri pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan ini.

“Saya akan memainkan peranan untuk menyantuni rakyat secara keseluruhannya bagi pihak Perdana Menteri memandangkan beliau kini sibuk untuk menguruskan pelan bagi menangani pandemik COVID-19,” katanya ketika ditemui Wacana.my.

Semalam dalam kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden BERSATU dan Ahli Parlimen Tambun dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri bertaraf menteri, bertanggungjawab dalam hal ehwal jalinan komuniti, komunikasi masyarakat dan pembangunan sosioekonomi.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *