Zahid dan Najib perlu nafikan jika ini tidak betul – Wan Saiful

KUALA LUMPUR, 5 Ogos — Ketua Penerangan BERSATU Datuk Wan Saiful Wan Jan mencabar Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menafikan mereka adalah individu yang dimaksudkan dalam petikan pengumuman khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin.

Wan Saiful berkata persoalan itu menimbulkan pertanyaan pelbagai pihak mengenai siapa yang dimaksudkan Muhyiddin.

Ini kerana, kata Wan Saiful, ada dakwaan mereka pernah meminta kes-kes perbicaraan mahkamah digugurkan dan ada pula yang meminta menukarkan hakim dalam proses rayuan.

“Dalam ucapan YAB Tan Sri Muyiddin kelmarin, beliau menyebut bahawa ada desakan supaya beliau ‘mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.’

“Selepas itu, heboh dibicarakan oleh pelbagai pihak mengenai siapa yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri.

“Ada dakwaan bahawa antara kes yang dimaksudkan adalah membabitkan Zahid Hamidi dan Najib Razak.

“Ada yang mengatakan Zahid Hamidi pernah meminta Tan Sri Muhyiddin menggugurkan kes-kes beliau manakala Najib Razak pula pernah meminta Tan Sri Muhyiddin menukar hakim dalam proses rayuan. Ini dakwaan yang berat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Wan Saiful tidak terkejut jika Muhyiddin menolak permintaan mereka.

Jelasnya, ini menunjukkan Muhyiddin memang tehas dalam hal integriti dan melawan salah laku.

“Saya tidak terkejut jika Tan Sri Muhyiddin menolak mentah-mentah kedua-dua desakan ini sehingga menyebabkan Najib dan Zahid amat marah dan terdesak. Tan Sri Muhyiddin memang tegas dalam hal integriti dan melawan salah laku.

“Zahid dan Najib perlu jawab segera dan nafikan jika ini tidak betul.

“Betulkah Najib dan Zahid begitu terdesak hingga sanggup memecahbelahkan perpaduan politik Melayu yang tidak pernah dinikmati oleh negara sebelum ini dengan cara mengarahkan penarikan sokongan sebab mereka takut ke penjara?” soalnya.

Namun, katanya, ramai pemimpin UMNO yang tumpuan mereka ialah berkhidmat kepada rakyat dan negara dalam kerajaan yang ada kesatuan.

“Jika khabar angin ini betul, jelaslah Zahid dan Najib langsung tak fikir mengenai kesatuan politik dan kebajikan rakyat. Kluster mahkamah ini berusaha gulingkan kerajaan walaupun semasa pandemik hanya untuk diri sendiri, bukan untuk rakyat. Masih perangai macam dulu.

“Berbeza sungguh dengan sikap Tan Sri Muhyiddin. Diasak macam mana sekalipun, fokus Tan Sri Muhyiddin ialah menjaga rakyat,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *