Tahniah Azizulhasni, syabas Shah Firdaus – PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada pelumba trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang di atas kejayaan memenangi pingat perak menerusi acara final keirin lelaki di Izu Veldorome di Shizuoka, pada temasya Olimpik Tokyo hari ini.

Muhyiddin berkata kejayaan ini tentunya menambahkan keceriaan buat kontinjen negara sebelum temasya sukan tersohor ini melabuhkan tirainya.

“Biar apa pun warnanya, kilauan pingat yang dikutip di pentas sukan terbesar ini tentunya memberi makna cukup signifikan buat anda dan juga negara apabila melihat Jalur Gemilang dinaikkan.

“Seluruh rakyat Malaysia pastinya amat berbangga dengan aksi dan semangat tidak mudah mengalah yang anda tunjukkan. Saya turut merasa sayu melihat tangisan kemenangan sebentar tadi.

“Kami di Malaysia amat memahami perasaan serta kesukaran yang anda lalui sepanjang temasya ini. Terima kasih saya ucapkan atas segala pengorbanan anda demi negara,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam saingan peringkat akhir yang penuh dramatik, penyandang juara Jason Kenny dari Britain mempamerkan kayuhan luar biasa sejak di peringkat awal lagi untuk terus menguasai perlumbaan sehingga ke akhir bagi mengekalkan kejuaraannya.

Mohd Azizulhasni, 33, melintasi garis penamat untuk pingat perak, manakala pelumba Belanda Harrie Lavreysen yang merangkul pingat emas dalam acara pecut lelaki, meraih pingat gangsa.

Dikenali dengan gelaran “The Pocket Rocketman”, Mohd Azizulhasni memenangi pingat Olimpik pertamanya pada Olimpik Rio 2016 dengan pingat gangsa dalam acara keirin, selepas gagal melayakkan ke peringkat akhir Olimpik Beijing 2008, dan menduduki tempat keenam dalam Olimpik London 2012.

Mengulas lanjut, Muhyiddin turut mengucapkan syabas kepada Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan berharap tidak mematahkan semangatnya apabila gagal mengiringi Azizulhasni ke peringkat akhir.

“Kepada Muhammad Shah Firdaus Sahrom pula, saya ingin katakan yang kegagalan mengiringi Azizulhasni ke peringkat akhir tidak seharusnya mematahkan semangat anda.

“Iltizam dan semangat ‘Demi Malaysia’ yang dipamerkan apabila sanggup mengetepikan kesakitan yang dialami semasa di peringkat saringan dan suku akhir dengan sendirinya membuktikan anda adalah wira yang perlu disanjungi. Terima kasih Shah Firdaus.

“Tahniah Azizulhasni! Syabas Shah Firdaus!

“Syabas juga kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican, barisan kejurulatihan dan seluruh kontinjen Malaysia atas kejayaan ini,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *