Dapatan kajian IYRES 2020, hab data belia berperanan pastikan hala tuju belia negara

KUALA LUMPUR, 9 Ogos — Dapatan kajian Institut Penyelidikan dan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) 2020 dan Hab Data Belia berperanan memastikan hala tuju belia negara di landasan yang betul.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata lima dapatan kajian ini terdiri daripada Landskap Belia Malaysia: Perspektif Indeks Belia Malaysia; Trend Budaya Sukan Rakyat Malaysia ketika Pandemik COVID-19; Ketidakupayaan Belia Bersaing dalam Sektor Ekonomi, ‘Upskilling and Reskilling Study for Better Employment Opportunities among Youth’ serta Aspirasi Belia Negara.

“Melalui hasil kajian berkenaan, Malaysia dapat merangka dan merencanakan formula terbaik dalam menghasilkan generasi masa depan yang unggul dan berkeupayaan mentadbir negara dengan jati diri yang kuat sekali gus menjadikan Malaysia negara maju dan sejahtera pada suatu hari nanti,” menurutnya dalam kenyataan.

Dapatan kajian ini dibentangkan dalam sesi dialog awam ‘Town Hall IYRES 2021’ secara dalam talian melalui Zoom Webinar dan Facebook Live @IYRESKBS pada Isnin.

Bertemakan Landskap dan Aspirasi Belia Negara, program tahun kedua anjuran IYRES dan KBS ini adalah platform penyebarluasan hab data belia serta dapatan kajian IYRES kepada pemegang taruh di bawah pembangunan belia untuk dijadikan input merangka program atau aktiviti bagi memenuhi keperluan dan kehendak semasa belia.

Selain itu, IYRES dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut membangunkan Hab Data Belia bagi memudahkan capaian maklumat dalam kalangan pemegang taruh pembangunan belia melalui satu platform berfokus.

Hab data ini adalah gerbang maklumat utama yang mengandungi empat sistem iaitu Hab Statistik (sistem Ydata@IYRES), Hab Profil Belia (Sistem Profil Belia Negara), Hab Pemantauan (Sistem e-MYInd) dan Hab Analitik (sistem sains data dan analitik data).

Sesi webinar dialog awam yang disertai hampir 400 peserta itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif IYRES Dr P. Vellapandian, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS Ramona Mohd Razali dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KBS Abdullah Hasan serta hampir 400 peserta.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *