PN Klang bantu ringankan beban pengebumian 50 keluarga India

KUALA LUMPUR, 9 Ogos — Perikatan Nasional (PN) Klang akan menanggung sebahagian kos pengebumian bagi 50 buah keluarga dalam kalangan kaum India termasuk pembelian keranda bagi meringankan beban keluarga mangsa Covid-19 yang terpaksa menanggung kos pengebumian yang tinggi.

Menurut Ketua Bersekutu Bersatu Klang, D.Nallan, nilai bantuan pengebumian tersebut keseluruhannya berjumlah lebih RM20,000.

“Kami di PN Klang sentiasa memahami kesusahan yang dihadapi rakyat, khasnya golongan rentan dan golongan B40 yang menerima impak terus pandemik Covid-19 hari ini.

“PN Klang mengambil maklum tentang masalah yang dihadapi oleh masyarakat India di Klang hari ini iaitu masalah kelewatan proses pengebumian berikutan kes kematian yang tinggi akibat wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Nallan berkata, PN Parlimen Klang dengan kerjasama Klang Indian Funeral Services hari ini telah memuktamadkan satu inisiatif percuma bagi membantu warga Klang yang mempunyai kesukaran kewangan dalam menguruskan proses pengebumian ahli keluarga mereka.

Katanya lagi, PN Klang menzahirkan rasa dukacita di atas ujian yang menimpa keluarga mangsa dan berharap beban yang ditanggung keluarga dapat diminimumkan.

“PN mendoakan agar keluarga terlibat diberi ketabahan dan kecekalan dalam mengharungi kesulitan hari ini,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *