KKM sedia ambil tindakan jika tipu sijil vaksin dalam MySejahtera – Dr Noor Azmi

BAGAN SERAI, 10 Ogos — Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memalsukan sijil digital vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata perbuatan penipuan tersebut dipandang serius bahagian penguatkuasaan KKM dan pihak berkuasa lain, yang pastinya akan bertindak bagi membendung perbuatan tidak bermoral itu.

“Menipu adalah perbuatan yang keji dan sepatutnya kita kena jujur dalam urusan sebab itulah timbul macam-macam penipuan termasuk penipuan sijil digital MySejahtera yang dicetak.

“Kita akan siasat. Pastinya bahagian penguatkuasaan KKM akan lebih berhati-hati dalam memastikan dan memeriksa ketulenan sijil vaksinasi,” katanya dalam sidang media selepas melawat pusat vaksinasi untuk warga pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar Al-Baqir pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat yang mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan kelonggaran syarat prosedur operasi standard (SOP) rentas negeri dan daerah seperti mengemukakan sijil vaksin yang palsu.

Menurutnya, isu penipuan berkaitan sijil vaksinasi ini akan dibawa dalam mesyuarat khas KKM dalam masa terdekat bagi membincangkan kaedah bersesuaian dalam mengelakkan ia berlaku sewenang-wenangnya dan berleluasa di seluruh negara.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *