Keterbukaan MP blok pembangkang dituntut sebagai persefahaman rentas parti

KUALA LUMPUR, 14 Ogos — Kesediaan beberapa Ahli Parlimen pembangkang memberi pertimbangan kepada tawaran yang dikemukakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sangat dialu-alukan demi kesejahteraan rakyat, kesejahteraan kesihatan awam serta pemulihan ekonomi negara.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Datuk Senator Razali Idris berkata tawaran Perdana Menteri bukan kerana diri sediri, tetapi untuk rakyat dan negara.

Atas faktor itu, katanya, keterbukaan dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang dituntut sebagai persefahaman rentas parti.

“Perbincangan dan rundingan perlu dilangsungkan secara muhibbah dan memahami terlebih dahulu inisiatif murni kerajaan Perikatan Nasional (PN). Dalam hal ini, permuafakatan politik secara kebersamaan perlu ditonjolkan bermula dari dalam Dewan Rakyat serta Dewan Negara itu sendiri.

“Saya mengalu-alukan keterbukaan dan kesediaan Ahli Parlimen Damansara Tony Pua dan Ahli Parlimen Bangi Dr Ong Kian Meng bagi memperincikan rangka persefahaman rentas parti ini.

“Adalah diharapkan semua Ahli Parlimen berlapang dada dan berfikiran terbuka bagi tawaran kerajaan PN yang akan dilaksanakan jika usul undi percaya diluluskan di Dewan Rakyat kelak,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menerusi keabsahan undi percaya kelak, kata Razali, kerajaan PN akan terus berfungsi mengurus pandemik

COVID-19 hingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya umum (PRU) bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat.

“Pada ketika kesusahpayahan sekarang, tiada siapa yang menang, tetapi matlamat utama ialah memastikan rakyat terus dibela dan ekonomi terus dipulihkan.”

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *