Pelajar perlu divaksin sebelum sekolah dibuka – Rina Harun

SERI ISKANDAR, 14 Ogos — Pelajar khususnya berumur 12 hingga 17 tahun perlu divaksin sebelum sesi persekolahan dijadual dibuka pada 1 Sept ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata saranan itu sejajar dengan peningkatan jumlah kes dan penularan COVID-19 ketika ini, yang tidak mengenal mangsa termasuk kanak-kanak dan pelajar sekolah, justeru beliau berharap pihak berwajib dapat melaksanakan proses vaksinasi tersebut secepat mungkin.

“Mereka tidak terkecuali daripada COVID-19. Harap selepas selesai golongan dewasa mendapat vaksin, giliran kanak-kanak pula khasnya berumur 12 hingga 17 tahun. Saya harap perkara ini akan diputuskan dan dilaksanakan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) secara berperingkat, mengikut nasihat pakar.

“Harus kita ingat, kanak-kanak dalam kumpulan ini masih bersekolah. Jadi diharap mereka dapat diberi vaksin sebelum atau ketika sekolah dibuka dengan kerjasama Kementerian Pendidikan,” katanya selepas melawat Rumah Seri Kenangan Seri Iskandar, kira-kira 45 kilometer dari Ipoh hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan, kerajaan akan melaksanakan pemberian vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak dan remaja berumur 12 hingga 17 tahun mulai 15 Sept ini.

Menyentuh perkara sama, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata, vaksinasi itu akan dimulakan mengikut keutamaan iaitu remaja yang mempunyai masalah kronik diikuti tanpa masalah perubatan dan berdasarkan penurunan umur.

Pada 17 Julai lepas, Kementerian Pendidikan membuat ketetapan bahawa, sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka mulai 1 Sept ini.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *