BERSATU serah kepada Muhyiddin tentukan calon PM

KUALA LUMPUR, 17 Ogos — Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, partinya menyerahkan sepenuhnya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuat keputusan akhir berhubung pembentukan kerajaan baharu.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU petang semalam, sejurus selepas Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Kita telah mengambil kira semua pandangan mengenai calon Perdana Menteri dalam mesyuarat tersebut.

“Tetapi Muhyiddin tidak dapat hadir ke mesyuarat itu kerana kesibukan urusan setelah mengadap Yang di-Pertuan Agong. Maka, kita juga memutuskan bahawa hasil mesyuarat itu akan dibentangkan oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Faizal Azumu kepada Presiden untuk keputusan akhir yang akan diangkat ke perbincangan dengan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam kenyataan.

Katanya, selepas mesyuarat MPT, satu perbincangan juga telah diadakan bersama Ahli-Ahli Parlimen BERSATU untuk mengambil kira pandangan mereka.

“Jadi, proses dalam BERSATU ini adalah satu konsultatif yang telus dan melibatkan semua pihak berkepentingan. Kami rasakan inilah yang sebaiknya kerana dalam Bersatu, kita sentiasa mencari kata sepakat supaya kita bergerak dalam satu pasukan yang harmoni.

“Semua input-input ini telah dibentangkan kepada Presiden dan kita serahkan sepenuh kepercayaan kepada Muhyiddin sebagai Presiden parti untuk membuat keputusan akhir yang sudah pasti akan diumumkan apabila tiba masanya,” katanya.

Justeru, Wan Saiful meminta semua ahli-ahli BERSATUbertenang dan memberi kepercayaan kepada pucuk pimpinan parti.

“Saya juga menyeru semua rakyat agar memberikan kepercayaan penuh kepada kebijaksanaan Agong untuk membuat keputusan yang betul berdasarkan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *