PN setuju secara bersyarat, namakan Ismail Sabri sebagai PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos — Perikatan Nasional (PN) sebulat suara bersetuju mencalonkan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang baharu secara bersyarat.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sokongan itu diberikan oleh 50 Ahli Dewan Rakyat dari parti-parti gabungan PN iaitu 31 Ahli Dewan Rakyat BERSATU, 18 PAS dan satu daripada STAR termasuk empat bebas.

“Sekiranya dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong, beliau hendaklah memastikan Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti adalah terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

“Kerajaan PN di bawah pimpinan beliau juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga telah berunding dengan pimpinan parti GPS dan PBS yang membentuk Kerajaan PN sebelum ini untuk mengambil ketetapan yang sama.

Ujarnya, keputusan itu dibuat demi menjamin kesinambungan dasar-dasar Kerajaan PN yang sedang menumpukan kepada usaha memerangi COVID-19 dan memulihkan negara sehingga mandat dikembalikan kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Keputusan ini juga bermakna Perikatan Nasional lebih mengutamakan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat berbanding politik dendam dalam persaingan merebut kuasa.

“Apabila berhadapan dengan situasi krisis, ahli politik mesti berjiwa besar (magnanimous) demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Justeru, beliau berharap proses pelantikan Perdana Menteri yang baharu dapat berjalan lancar dan dimuktamadkan dalam masa terdekat menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.

Muhyiddin turut memberi komitmen untuk meneruskan khidmat bakti kepada rakyat dan mempersiapkan parti bagi menghadapi PRU15 apabila tiba masanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *