BERSATU main peranan penting dalam mengubah landskap politik negara

KUALA LUMPUR, 8 Sept — BERSATU memainkan peranan penting dalam mengubah landskap politik negara pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran sewaktu penubuhannya yang menentang kleptokrat ketika itu, namun parti itu ditubuhkan atas dasar mengembalikan tadbir urus yang lebih baik untuk negara.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata kewujudan BERSATU menjadikan demokrasi di negara menjadi lebih ‘vibrant’.

“Kalau kita bercakap mengenai parti Melayu, maka yang paling lama ada dua iaitu UMNO dan PAS. BERSATU usia baru lima tahun hari ini.

“Daripada pengerusi ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad kemudian diganti dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden BERSATU menjadi perdana menteri.

“Sepanjang itu, saya rasa hasilnya ialah apa yang kita lihat sekarang. Kejayaan program vaksinasi COVID-19, cara pengendalian COVID-19 yang boleh dikatakan ‘ada sinar di hujung terowong’.

“Ini adalah hasil perancangan yang dibuat di bawah kepimpinan perdana menteri daripada BERSATU,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan dalam program Malaysia Petang Ini bertajuk ‘Ulang Tahun ke-5: BERSATU Terus Utuh’ yang disiarkan Bernama TV hari ini.

BERSATU menyambut ulang tahun ke-5 hari ini di mana majlis sambutan secara rasmi akan diadakan pada Jumaat ini jam 9 malam.

Majlis sambutan itu akan disiarkan secara langsung di Facebook rasmi parti dan Facebook Muhyiddin Yassin.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata kerajaan hari ini komited meneruskan rancangan yang telah diusahakan Muhyiddin.

“Jadi ini bagi saya adalah bukti bahawa walaupun usia lima tahun tetapi jasa yang ditinggalkan dan terus dilaksanakan pada hari ini adalah signifikan untuk negara. kita.

“Yang penting, orang dok kata hilang kerusi PM, apa jadi dengan BERSATU?

“Bukan itu perkara paling tinggi. Yang paling tinggi adalah agenda perjuangan kita kekal dalam kerajaan yang ada pada hari ini.

“Agenda yang ditetapkan sebelum ini akan diteruskan pada hari ini dan masa akan datang,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *