Jadikan BERSATU parti pilihan rakyat, nasihat Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 10 Sept — BERSATU berazam untuk membuat kemunculan semula, jika berjaya meraih sokongan daripada rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden BERSATU, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata BERSATU dan parti komponen PN akan terus berada dalam kerajaan bagi meneruskan usaha memulihkan negara hingga PRU dapat diadakan.

“Sehingga saat itu, saudara dan saudari sebagai ahli parti, mestilah melakukan segala persiapan. Tumpukan kepada usaha untuk memperkuat parti di akar umbi. Jangan bersengketa sesama kita.

“Elakkan perasaan dengki dan iri hati. Kukuhkan perpaduan, tingkatkan kerjasama dan lipat-gandakan usaha untuk menjadikan BERSATU sebagai parti pilihan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Kelima BERSATU secara maya, malam ini.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut mengajak BERSATU supaya memperkukuh kerjasama dengan parti komponen PN pada peringkat bahagian dan cawangan.

Katanya, dasar BERSATU tidak boleh bersendirian dalam menghadapi PRU dan memerlukan sokongan parti komponen PN serta parti rakan yang lain untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan.

“Kita juga mesti teruskan kerja amal. Rakyat nak merasakan jasa kita kepada mereka. Apa bantuan kita boleh sampaikan. Ziarah mereka. Tanya khabar mereka. Cukup makan atau tidak. Sakit demam mereka bagaimana. Dan, kita bantulah mereka. Itulah yang terbaik untuk kita lakukan.

“Buktikan budaya politik BERSATU berbeza. Politik kita ialah politik khidmat, prihatin dan jasa kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Politik kita bukan politik iri hati dan hasad dengki, perkauman melampau, adu-domba, tamak haloba dan kemaruk kuasa,” katanya.

Muhyiddin turut menggesa supaya BERSATU membuktikan nilai kepimpinan berteraskan prinsip integriti dan amanah, tidak boleh berkompromi dengan perbuatan rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa mahupun mencampuri urusan mahkamah.

Katanya, BERSATU menghormati prinsip pengasingan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman, selain komited kepada agenda reformasi institusi yang menjamin tatakelola kerajaan yang baik.

“Kita perlu sentiasa sabar dan tenang dalam menghadapi dugaan dan cabaran, menekankan prinsip penyatuan dan perpaduan dalam negara berbilang kaum dan agama.

“Kepimpinan BERSATU di setiap peringkat mestilah menjadi ‘role model’ kepada masyarakat, khususnya anak muda yang bakal menjadi pelapis kepimpinan parti dan negara. Nilai kepimpinan baik ini mesti kita terapkan secara sistematik dalam parti,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan penubuhan Akademi Kepimpinan BERSATU yang akan mengadakan siri latihan berteraskan nilai, roh dan semangat perjuangan parti seperti termaktub dalam perlembagaan parti.

Akademi itu, katanya, akan memberi tumpuan kepada penerapan semangat kebangsaan berteraskan Islam yang menyantuni masyarakat pelbagai kaum dan agama sebagai ideologi BERSATU.

“Pentadbiran parti pada setiap peringkat termasuk di ibu pejabat, badan pimpinan negeri, bahagian dan cawangan mesti diperkukuh. Begitu juga dengan sayap Srikandi dan ARMADA. Pentadbiran BERSATU mesti disusun dengan baik bagi memastikan semua perancangan parti dapat dilaksanakan dengan sempurna.

“Sebagai parti pribumi, BERSATU akan terus membela nasib orang Melayu dan Bumiputera, termasuk menjaga kebajikan serta memperbaiki taraf hidup golongan B40 yang sebahagian besarnya terdiri daripada masyarakat Melayu dan Bumiputera.

“Perhatian juga akan diberikan kepada usaha mewujudkan lebih banyak peluang penyertaan Melayu dan Bumiputera dalam bidang pertumbuhan ekonomi utama berdaya maju.

“Dalam konteks ini, agenda Wawasan Kemakmuran Bersama bertujuan menangani jurang pendapatan di antara kaum, wilayah dan kelas sosial akan terus menjadi keutamaan,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *