Peranan NGO penting bantu kerajaan santuni golongan sasar, elak tercicir

SUBANG, 12 Sept — Peranan badan bukan kerajaan (NGO) sangat penting dalam membantu kerajaan menyantuni golongan sasar yang terkesan akibat wabak pandemik COVID-19 yang melanda negara.

Pengerusi Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara Senator Datuk Razali Idris berkata ini bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada arus kebajikan yang kerajaan berikan selama ini.

Ini kerana, katanya, ada di kalangan mereka yang terkesan kehilangan pekerjaan dan tiada pendapatan akibat COVID-19.

“Kali ini sasarannya adalah OKU yang cacat penglihatan. Jadi bekalan bahan mentah ini kita berikan untuk membantu meringankan beban mereka.

“Ia adalah komitmen kerajaan untuk membantu mereka yang terkesan dan mendapat kerjasama daripada NGO MyCorps Alumni dan Yayasan Orang Buta Malaysia.

“Dalam keadaan COVID-19 ini ramai yang terkesan, termasuk juga mereka yang OKU yang sebelum ini pun sudah terkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengagihkan barangan keperluan makanan kepada golongan OKU penglihatan di Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang 2, hari ini.

Turut hadir Naib Presiden 2 MyCorps Alumni Amir Junaidi Amerrudin.

Sementara itu, Amir Junaidi berkata pihaknya tampil membantu golongan OKU penglihatan untuk mereka menjalankan kehidupan ketika pandemik.

Sebelum ini, katanya, pihaknya menjalankan program membantu pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur di seluruh negara.

“InsyaAllah kita akan teruskan menyantuni seramai mungkin terutama ketika musim pandemik ini,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *