Pelabur AS digesa manfaat Pejabat Pelaburan Digital Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 Sept — Kalangan pelabur Amerika Syarikat (AS) digesa memanfaatkan Pejabat Pelaburan Digital Malaysia (DIO) sebagai pusat sehenti untuk memenuhi semua keperluan mereka, termasuk dalam aspek ekosistem tenaga kerja dan syarikat pemula niaga.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beliau sendiri gembira dengan minat berterusan serta pembabitan Majlis Perniagaan ASEAN-AS (US-ABC) di rantau ASEAN selain di Malaysia dalam memupuk agenda transformasi digital.

Malah, katanya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di bawah kementerian itu serta Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) juga bersedia membantu US-ABC untuk meninjau DIO dalam menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

“Saya ingin menegaskan lagi bahawa Malaysia akan terus menjadi ekonomi terbuka dengan dasar-dasar pro-perniagaan dan pragmatik yang menyokong iklim pelaburan di negara ini.

“Usaha berterusan Malaysia inilah yang berjaya meletakkannya dalam peta atau tumpuan pelabur kita,” katanya ketika menyampaikan ucap tama dalam mesyuarat dengan pihak US-ABC secara maya pada malam tadi.

Mohamed Azmin berkata sejak beberapa tahun lepas, US-ABC terbukti berperanan penting dalam melonjakkan penyepaduan serantau sambil mempertingkat hubungan bersama AS dengan negara anggota ASEAN, termasuk Malaysia.

Menurutnya, dalam soal pandemik misalnya, persediaan untuk menghadapinya adalah perkara utama berikutan kesukaran mengelak COVID-19.

“Saya optimis terhadap usaha secara kolektif menarik pengalaman bernilai sektor awam dan swasta dalam membuka jalan bagi pertumbuhan yang lebih berdaya tahan dan mampan,” katanya.

Menurutnya, Malaysia juga kekal kukuh dalam melaksanakan transformasi digital secara berterusan, kebanyakannya menerusi agenda MyDIGITAL yang merupakan dimensi baharu bagi dasar pendigitalan negara.

“Ini dijangka dapat mentransformasi Malaysia menjadi sebuah negara yang dipacu secara digital dan menjadi platform untuk komuniti perniagaan mendapat akses ke pasaran serantau dengan penduduk seramai 650 juta orang serta kekuatan dalam bentuk 400 juta pelanggan dalam talian yang berpotensi,” katanya.

Mohamed Azmin berkata pelaburan langsung asing Malaysia turut melonjak sebanyak 223.1 peratus tahun ke tahun pada separuh pertama 2021.

“Ini jelas membuktikan bahawa strategi meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan yang menarik dan hab bekalan ASEAN terutama operasi pembuatan, telah membuahkan hasil yang positif,” katanya.

AS merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia sejak 2015.

Beliau berkata, biarpun perdagangan global mencatat defisit pada tahun lepas, Malaysia merekodkan pertumbuhan 8.2 peratus dari segi jumlah perdagangan dengan AS yang mencecah US$42.6 bilion (US$1=RM4.15).

Pada masa sama, AS adalah pelabur asing kedua terbesar Malaysia dari segi pelaksanaan projek-projek pembuatan, kata beliau.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *