Keputusan buka sekolah ambil kira kebajikan murid – Radzi

KUALA LUMPUR, 15 Sept — Keputusan pembukaan semula sesi persekolahan secara bersemuka dibuat selepas mengambil kira aspek kebajikan lima juta murid di seluruh negara.

Ia berikutan keseluruhan murid datang daripada pelbagai latar belakang, selain sudah renggang dengan institusi sekolah secara bersemuka bagi tempoh yang agak lama sejak Mei lalu.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata keadaan itu dikhuatiri akan memberi gambaran kepada murid mereka tidak akan kembali menjalani sesi persekolahan secara bersemuka.

Selain itu, katanya, pendekatan membuka sesi persekolahan secara bersemuka dan berperingkat juga sekurang-kurangnya memberi gambaran baharu selari peralihan ke fasa endemik seperti dinyatakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kita boleh memilih tidak membuka sekolah dan ia jalan paling mudah, namun hakikatnya kita ada lima juta murid daripada pelbagai latar belakang dan renggang dengan sekolah untuk tempoh yang panjang mulai Mei lalu.

“Katakanlah jika kita ambil keputusan untuk menutup sekolah sehingga tahun depan, maka dalam pemikiran mereka (murid) persekolahan bersemuka tak berlangsung hingga 2022.

“Kita secara umumnya akan dapati murid melihat mereka tidak akan kembali bersekolah secara bersemuka selepas tidak boleh hadir ke sekolah mulai Mei lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *