Pengusaha taska, ibu bapa diingat patuh SOP ditetapkan

KUALA LUMPUR, 16 Sept — Pengusaha taska, tabika, tadika dan pusat jagaan harian serta ibu bapa diingatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan berikutan kebenaran pengoperasian taska di negeri Fasa Satu dan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata mengambil kira hal ehwal kebajikan anak-anak di rumah sewaktu ibu bapa bekerja, pembukaan taska adalah inisiatif terbaik dalam membantu ibu bapa yang bekerja.

“Justeru saya berharap pengoperasian taska serta kelonggaran-kelonggaran yang diberikan ini dapat dimanfaatkan oleh pengusaha taska serta ibu bapa dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab mengikut SOP yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata bagi memastikan SOP dipatuhi, kementerian dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa ke atas taska-taska yang mula beroperasi.

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tabika, taska, tadika, pusat jagaan harian serta pusat perkembangan minda untuk anak-anak yang ibu bapanya bekerja dibenarkan beroperasi di negeri Fasa Satu dan Fasa Dua PPN berkuat kuasa esok.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *