Rantaian kerjasama negara Komanwel untuk pulihkan Covid-19

KUALA LUMPUR, 17 Sept — Negara-negara Komanwel diseru menjalinkan rantaian kerjasama dalam usaha pemulihan Covid-19 melalui diplomasi kesihatan yang perlu dilaksanakan selaras dengan prinsip ketelusan dan tadbir urus yang baik.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pengedaran vaksin Covid-19 secara adil, mudah diakses dan dengan harga yang berpatutan juga penting bagi semua negara Komanwel.

Pada masa sama, beliau menggariskan keperluan sektor awam dan swasta untuk terus menggunakan teknologi digital yang telah digunakan secara meluas semasa perintah berkurung.

“Negara-negara Komanwel juga dicadang mengambil tindakan secara kolektif dalam usaha mengurangkan jurang digital di antara negara maju dan membangun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai Mesyuarat Ke-21 Menteri-Menteri Luar Negeri Komanwel secara maya hari ini.

Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri tersebut dipengerusikan oleh Menteri Wanita dan Kesaksamaan dan Setiausaha Luar, Hal Ehwal Komanwel dan Pembangunan United Kingdom yang juga merupakan Pengerusi Komanwel, Elizabeth Truss.

Semasa mesyuarat tersebut, Saifuddin turut mengimbas kembali Deklarasi Langkawi mengenai Alam Sekitar yang dipersetujui oleh Ketua-ketua Negara Komanwel pada 1989, bertujuan melindungi alam sekitar dan menangani kesan perubahan iklim.

Saifuddin turut menggesa pihak Komanwel agar komited dan terus menperjuangkan isu-isu perubahan iklim menjelang Persidangan ke-26 Negara Ahli kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP26).

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *